Ada unsur jenayah dalam kes kereta rentung di ladang kelapa sawit - Polis

Ada unsur jenayah dalam kes kereta rentung di ladang kelapa sawit - Polis
Polis sedang menjalankan siasatan jika kemungkinan kenderaan berkenaan milik bekas Timbalan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang sejak Jumaat.
HUTAN MELINTANG: Polis mengesahkan terdapat unsur jenayah dalam kes kereta rentung yang ditemukan di ladang sawit dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain walau bagaimanapun berkata siasatan masih dijalankan untuk memastikan ia ada kaitan dengan kes kehilangan bekas Timbalan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang sejak Jumaat.

"Nombor casis enjin telah dikikis malah membawa kereta itu di ladang sawit pun sudah ada unsur pelakuan jenayah," kata Mohd Shuhaily kepada Astro AWANI.

Tambahnya, polis perlu menunggu laporan kimia serta pihak pengeluar kereta untuk mengesahkan komponen kereta tersebut sama ada daripada model keluaran Proton atau Honda.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan penemuan sebuah kereta yang rentung di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, di sini.

"Kenderaan tersebut ditemui orang awam sekitar jam 10 pagi tadi, yang kemudian menghubungi pihak polis," Mohd Shuhaily ketika mengesahkan penemuan kereta berkenaan pagi ini.

Bagaimanapun, pihaknya masih cuba mencari dan mengenal pasti jenis kereta dan nombor casis kenderaan untuk siasatan lanjut.

"Akibat impak kebakaran, kenderaan tersebut rentung sepenuhnya, dan pihak forensik gagal mengenal pasti nombor casis, sehubungan itu pihak kami masih lagi cuba mencari kaedah lain untuk mengenal pasti kenderaan terbabit," jelasnya.

Siasatan awal juga tidak menemui kesan lain dalam kenderaan itu.

"Tiada mayat ditemui, hanya kereta sahaja," jelas Mohd Shuhaily.

Laporan polis berhubung kehilangan Morais dibuat ahli keluarganya pada petang Sabtu selepas dia gagal dihubungi.

Morais dari Jabatan Peguam Negara sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan di SPRM.
Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu, menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Sidang media berkenaan penemuan kenderaan itu dijangka diadakan sekitar 3 petang ini.



Takkan Baca je? Comment La Sikit..